Tuesday, July 16, 2013

Love Science… Love Islam:  Ilmu yang membawa kepada Penciptanya

Ramai yang tidak mengenali Islam mengatakan agama Islam adalah penuh dengan keganasan, berlaku paksaan dan tidak maju.  Ramai yang tersalah sangka kerana menganggap Islam hanyalah ibadat solat, puasa, mengerjakan haji, dan membayar zakat.  Dan mereka gagal untuk menghubungkan ilmu dengan Penciptanya.  Manusia pada fitrahnya memang mahu maju (beberapa tamadun manusia telah terbentuk) dan di atas sifat inilah mereka perlukan ilmu.  Allah SWT telah menunjukkan Nabi Adam segala nama tumbuh-tumbuhan untuk memberikannya ilmu pengetahuan sebagaimana yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran ini:




[30] Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
[31] Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.
[32] Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
[33] Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.
[34] Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
 (Al-Baqarah- Ayat 30-34)

Ilmu tentang segala benda termasuk tumbuhan, haiwan, binatang dan semuanya bermula dengan ilmu yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Adam as.  Daripada ilmu Allah inilah, kehidupan manusia terus berkembang dengan wujudnya pelbagai teknologi dan industri.

Seterusnya, dalam penciptaan diri manusia itu sendiri telah ada ilmu sains; dekatnya sains dengan manusia.



 [15] Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka),
[16] (Yaitu) ubun-ubun yang mendustakan lagi durhaka.
(Surah al-Alaq: 15-16)



Mengapa ubun-ubun yang dikatakan sebagai pendusta dan penderhaka apabila manusia tidak menurut perintah Allah SWT. Lihat Rajah 1 kedudukan frontal lobe dalam otak yang berada di sekitar ubun-ubun. Frontal lobe berfungsi untuk membuat keputusan, perancangan, pergerakan motor dan penyelesaian masalah. Kecenderungan dan pandangan jauh untuk memulakan pergerakan berlaku di frontal lobe. Ianya berfungsi untuk berfikir dan tindakan daripada keputusan yang diambil dijalankan oleh anggota badan yang lain, jika pelakunya berbohong, ianya bermula di frontal lobe.


Rajah 1: Frontal Lobe           


Dan daripada satu ayat Quran,


[56] Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
(Surah An-Nisa’:56)

Kulit mempunyai deria sakit (sensory nerve ending dalam Rajah 2), setiap kali terkena api, kita akan terasa sakitnya. Tetapi apabila kulit telah hangus terbakar, kesakitan sudah tidak terasa, dengan sebab itu Allah menggantikan kulit yang baru supaya orang yang ingkar akan merasai keperitan azab ini. 

Rajah 2  Sensory Nerve Ending

Saintis memeluk agama Islam adalah hasil daripada kajian tentang sains yang telah mempertemukannya kepada cahaya kebenaran. Di antaranya ialah Fatimah Jackson, seorang ahli antropologi biologi yang memeluk agama Islam, menyebutkan Theodosius Dobzhansky, salah satu pengasas genetik, mengatakan bahawa "tiada dalam biologi masuk akal kecuali dalam evolusi." Fatimah mengatakan sains menerangkan bagaimana sesuatu perkara berubah; Islam, dalam erti kata yang lebih besar, menjelaskan mengapa berlakunya perubahan.

Amatlah salah sekali jika kita mengatakan Al-Quran sebagai buku teks sains kerana Al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang menerangkan tentang manusia, fungsinya sebagai khalifah di muka bumi dan bagaimana mereka harus menjalani kehidupan di dunia. Dengan penemuan sains, ianya bukan untuk membuktikan tentang kesahihan ayat Quran tetapi tafsiran ayat Quran boleh ditambah dan berkembang lagi.

Rujukan
Islam and science - The road to renewal - After centuries of stagnation science is making a comeback in the Islamic world, 26 Januari 2013
Elias Karim. Scientists' Comments On The Qur'an - Extracts from the video This is the Truth by Sheikh Abdul-Majeed A. al-Zindani, Director, Project of Scientific Miracles in the Qur'an and Hadith, King Abdulaziz University, Jeddah, Saudi Arabia. http://www.islamic-awareness.org/Quran/Science/scientists.html