Monday, October 25, 2010

Irama Mengubati Jiwa

Dalam kehidupan seharian, semua orang terdedah dengan bunyi-bunyian irama dan lagu, samada untuk menghilangkan rasa bosan, menjadi hobi atau sudah menjadi tabiat sejak kecil lagi. Kalau di negara kita, program realiti mana yang tidak mendapat sambutan, berduyun-duyun yang akan mengisi borang untuk menyertai program realiti yang berasaskan kepada muzik.  Sudah pasti banyak sebab mereka ingin menyertainya.

Muzik boleh didefinisikan sebagai kumpulan nada yang dihasilkan oleh gabungan bunyi-bunyian alat-alat yang disusun serta mengandungi irama dan harmoni.  Muzik merentasi sempadan negara, bangsa dan budaya.  Muzik sebagai satu wahana komunikasi mampu mengumpulkan pendengar daripada pelbagai bangsa, budaya, agama dan negara.  Nyanyian dan muzik mampu menukar tingkah-laku seseorang iaitu ia mampu menukar emosi seseorang menjadi tenang, pilu, hiba, menangis, bermotivasi atau ke tahap yang tidak boleh dikawal akhlaknya.  Ianya mempunyai kaitan yang rapat dengan jiwa seseorang insan.

Dalam Islam, muzik yang tidak membawa kepada perbuatan mungkar dibenarkan. Para ulama’ bersetuju muzik tidak dilarang Islam berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah Luqman (31): 19 yang bermaksud:
Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

Menurut al-Ghazali dalam ayat yang berkaitan, Allah s.w.t. memuji suara yang baik, sehingga tidak dilarang mendengarkan nyanyian yang baik.

Dalam ayat yang lain, Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: 
"Dan kehidupan dunia ini hanyalah LAHWUN dan permainan belaka.."
(Surah Ankabut (29): 64) 

Imam al-Ghazali berpandangan:

 “Apabila diajukan kepada Imam al-Ghazali apakah nyanyian termasuk al Lahwu? Beliau berkata:Ya begitulah sebenarnya. Sesungguhnya seluruh dunia adalah al lahwu dan permainan..dan semua guarauan bersama isteri adalah al lahwu melainkan jima' yang bertujuan melahirkan zuriat. Begitu juga setiap gurauan yang tidak mengandungi kejahatan dan kemaksiatan, maka ia adalah halal.  Sebab itulah ada waktu-waktunya makruh mengerjakan solat nawafil (sunat) untuk memberi kerehatan kepada orang yang sering melakukannya. Kerehatan sebenarnya menolong untuk terus beramal. Sedikit dalam al lahwu dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana kita tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para Anbiya'. 

Mendengar muzik boleh merawat seketika jiwa dan seterusnya mampu memberi tenaga kepada si pendengar. Namun demikian, tidak lah ia boleh dibuat secara berelebihan, kemungkinan akan menimbulkan situasi yang tidak baik.



Pada zaman Rasulullah pun, baginda tidak menegah muzik atau nyayian yang tidak membawa kemaksiatan. Begitu juga semasa era pemerintahan Al-Khulafa Ar-Rasyidin, muzik dan nyanyian tidak pernah dilarang.

Dalam abad ke 7 hingga 15 Masehi yang dikenali juga zaman keemasan Islam, ramai ulama’ yang terkenal juga merupakan ahli muzik dan telah menulis puluhan judul buku tentang muzik. Di antaranya ialah al-Khindi yang menulis nota muzik iaitu satu sistem untuk menulis muzik.  Nota muzik yang menggunakan suku kata yang dikenali sebagai solmization atau solfege menjadi asas skala kepada muzik hari ini (do, re, mi, fa, so, la, tee) yang berkaitan dengan huruf Arab iaitu Dal, Ra, Mim, Fa, Sad, Lam dan Sin.

Al-Kindi telah menulis buku berkenaan muzik dan telah dialih bahasa untuk kegunaan orang Eropah di antaranya ialah The Essentials of Knowledge in Music (Pengetahuan Penting dalam Muzik), On The Melodies (Melodi) dan The Necessary Book In The Composition of Melodies (Buku Penting untuk Mencipta Melodi).  Begitu juga al-Farabi yang hidup selepas 70 tahun era al-Kindi, beliau telah menulis tentang teori muzik iaitu Great Book on Music (Buku Hebat tentang Muzik), Styles In Music (Gaya Muzik), On The Classification of Rhythm (Klasifikasi Irama). Buku Great Book on Music telah diterjemah ke bahasa Hebrew dan kemudian ke bahasa Latin pada abad ke-12 Masehi.


Banyak alat yang terdapat dalam muzik tradisional, rock dan okestra berasal daripada Islam-Arab, contohnya seperti lute yang berasal daripada  al-‘ud, rebec daripada rababah, gitar daripada qitara dan naker daripada naqqara (dram kayu yang dilitupi kulit kambing).


Foto1: Alat Muzik yang dipamerkan di Parque De Las Ciencias (Taman Sains), Granada (semasa lawatan kami di Granada pada 19-20 Jun 2010)

Foto2: Kenyataan yang dipamerkan di Parque De Las Ciencias (Taman Sains), Granada (semasa lawatan kami di Granada pada 19-20 Jun 2010).  Moors rujuk kepada bangsa Arab Afrika.


Al-Khindi merupakan di antara orang yang pertama menyedari kaedah terapeutik mengguna muzik. Satu ketika, seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit quadriplegic (hilang upaya anggota badan) yang telah mencuba pelbagai cara rawatan dan akhirnya bapa kanak-kanak ini ingin mencuba terapi muzik yang diperkenalkan oleh al-Khindi.  Apabila melihat keadaan kanak-kanak ini, al-Khindi mengarahkan pelajar-pelajar muzik untuk memainkan lagu.  Kanak-kanak ini relaks, bangun dan bercakap ketika muzik dimainkan.  Melihat kemajuan ini, al-Khindi menyuruh bapanya berbual dengan anaknya, namun demikian setelah muzik berhenti dialunkan, kanak-kanak ini kembali kepada penyakit yang dihadapinya.  Bapanya mahu muzik terus dimainkan, tetapi al-Khindi berkata, “Tidak, ini hanyalah satu episode dalam kehidupannya. Tiada siapa boleh memanjangkan kehidupan seseorang. Anak anda telah memenuhi kehendak Ilahi.”  Terapi muzik telah menjadi satu profesion yang diterima masyarakat untuk merawat keadaan mental, emosi dan fizikal.

Penyelidik boleh menukar gelombang otak kepada nota muzik menggunakan formula matematik.  Pakar-pakar ini menyatakan nota-nota ini boleh merawat kegelisahan, tekanan dan insomnia. Terapi muzik otak merupakan satu rawatan yang telah digunakan oleh ribuan pesakit seluruh dunia.

Dr. Galina Mindlin mengatakan yang otak gelombang akan menterjermah muzik secara digital menggunakan satu algorithma khusus.  Ianya mengambil masa yang lama dan telah menggabungkan satu pasukan penyelidik daripada pelbagai disiplin yang terdiri daripada clinician, ahli matematiks dan muzik yang diketuai oleh Dr. Iakov untuk menghasilkan algorithma tersebut. Setelah gelombang otak ditukar kepada bunyi muzik, ianya diletakkan dalam yang mempunyai fail relaks dan aktif serta arahan untuk menggunanya.  (http://today.msnbc.msn.com/id/15731102/).

No comments:

Post a Comment